Sumber: http://www.min.com.my/min/article.aspx?menu=4&menuAttch=377&sec=article
"Saya telah bekerja selama 20 tahun tetapi sehingga kini wang simpanan saya hanya sedikit sahaja. Kadangkala, saya tertanya-tanya kemanakah perginya wang saya?" - Puan Chong, Eksekutif
Pernahkah anda mendengar keluhan sebegini? Jika anda bertanya orang di sekeliling anda, besar kemungkinan anda akan berjumpa sekurang-kurangnya seorang yang sependapat dengan Puan Chong.
Jika anda bercadang mengukuhkan kedudukan kewangan, anda mesti mengenalpasti terlebih dahulu kesilapan pengurusan kewangan yang lazim dilakukan agar anda dapat belajar daripadanya.
Kesilapan #1:
Gagal Merancang
Jika anda bertanya kepada orang disekeliling anda, pasti anda akan dapati ramai diantara kita yang tidak merancang kewangan. Alasan yang selalu diberikan ialah "Saya sibuk dengan kerja dan keluarga hingga tidak sempat untuk menguruskan kewangan saya". Sikap acuh tak acuh ini akan menjejaskan kedudukan wang anda, contohnya anda akan selalu membayar cukai yang tinggi, membiarkan pelaburan tidak berkembang dalam tempoh yang lama atau tidak bijak memilih produk-produk pelaburan/kewangan yang sesuai dengan anda. Dengan bebanan kerja yang banyak, ramai diantara kita yang tidak memberi keutamaan kepada pengurusan wang dan membiarkan keadaan menjadi penentunya.
Sebenarnya, walaupun anda hanya tergolong dalam golongan yang berpendapatan sederhana, tabiat MERANCANG KEWANGAN akan membolehkan anda menjadi seorang yang berjaya mengumpul kekayaan di kemudian hari kelak.
Kesilapan #2:
Berbelanja Melebihi Kemampuan
Dewasa ini, kita sering berbelanja melebihi kemampuan akibat desakan rakan-rakan dan juga iklan-iklan disekeliling kita. Saban hari iklan-iklan di TV, surat khabar dan kompleks membeli belah banyak mempromosikan gaya hidup yang mewah. Telefon bimbit model terkini, kereta mewah dan juga fesyen terbaru banyak mendorong kita untuk berbelanja diluar daripada kemampuan. Apatah lagi, ramai yang sanggup menghabiskan duit semata-mata untuk mengikut arus peredaran masa dan tidak mahu dianggap ketinggalan zaman. Akibatnya, ramai diantara kita yang hanya mempunyai baki yang sangat sedikit dalam akaun bank di hujung bulan setelah ditolak pinjaman rumah dan kereta; bayaran kad kredit, bil-bil dan sebagainya.
Kesilapan #3:
Berbelanja Menggunakan Kad Kredit
Tabiat beli dulu dan bayar kemudian merupakan perkara biasa dewasa ini. Hampir setiap orang mempunyai sekurang-kurangnya satu kad kredit. Malah, ramai diantara kita yang memiliki lebih daripada satu kad. Walaupun kad kredit merupakan satu kemudahan tetapi ramai orang yang menyalahgunakannya dan menganggap ia adalah suatu alat untuk kita berbelanja dengan sewenang-wenangnya. Tambahan pula, dengan bayaran minima setiap bulan, ramai yang akan berpotensi untuk terus berbelanja. Mereka tersalah anggap mengenai bayaran minima tersebut, dan tidak menyedari bahawa lama kelamaan ia akan menjadi hutang yang menggunung di kemudian hari. Jika tersilap langkah, tidak mustahil anda juga boleh menjadi muflis akibat tabiat sedemikian. Ini adalah realitinya kerana mengikut laporan kemuflisan (bankruptcy report), peratusan orang yang jatuh muflis sejak kebelakangan ini telah meningkat, terutama sekali dikalangan golongan muda. Oleh itu, pastikan anda menggunakan kad kredit secara berhemat. Dengan membuat bayaran minimum setiap bulan, anda mungkin boleh terus berbelanja, tetapi anda harus ingat bahawa ia akan menyebabkan anda mengalami kerugian besar di belakang hari.
Kesilapan #4:
Lewat Menabung Untuk Hari Tua
Ramai diantara kita yang ingin bersara awal. Tetapi untuk memulakan persaraan, kita mesti memastikan yang kita mempunyai wang yang mencukupi untuk menampung gaya hidup yang diinginkan selepas bersara. Walaubagaimanapun, masih ramai diantara kita, terutamanya mereka yang sudah hampir bersara yang masih bergelut untuk mencapai jumlah simpanan yang diperlukan. Sepatutnya, setiap kali gaji naik, simpanan kita turut naik. Apa yang berlaku adalah sebaliknya dimana setiap kali gaji naik, perbelanjaan kita pula yang bertambah, contohnya pengubahsuaian rumah, kereta baru, menjadi ahli kelab tertentu untuk bersaing dengan rakan-rakan dan sebagainya. Perbelanjaan sedemikianlah yang menyebabkan kita sukar menabung untuk hari tua.
Kesilapan #5:
Melabur dalam Produk yang Tidak Bersesuaian
Terdapat pelbagai produk pelaburan di pasaran. Untuk memastikan kita melabur dalam produk pelaburan yang menepati profil risiko dan ganjaran yang diinginkan, kita memerlukan ilmu pengetahuan mengenai selok-belok pelaburan. Jangan bergantung kepada kata-kata penasihat kewangan semata-mata kerana ada diantara mereka yang mempunyai agenda tersendiri. Kadangkala ada penasihat kewangan yang tidak bertanggungjawab dan memberikan maklumat yang tidak tepat untuk meningkatkan komisen jualan mereka. Jadi pastikan anda meneliti ciri-ciri sesuatu produk pelaburan tersebut dan mengkaji kumpulan pengurusannya sebelum melabur.
Kesilapan #6:
Tidak Menabung untuk Waktu Kecemasan
Sesetengah orang beranggapan yang membeli insurans adalah perbuatan yang membazir wang. Tetapi tahukah anda bahawa tanpa insurans, kedudukan kewangan kita akan tergugat terutama sekali jika kita hilang pendapatan/pekerjaan. Keadaan akan menjadi lebih malang jika orang yang hilang pendapatan tersebut merupakan ketua keluarga atau pencari nafkah dalam keluarga. Tanpa insuran atau wang simpanan, seluruh keluarga akan merana dan ketika itu juga agak terlambat untuk memikirkan bagaimana ingin mencari sumber pendapatan yang lain dengan kadar segera.
Kesilapan #7:
Terlampau Memikirkan Pasal Wang
Perkara diatas membincangkan tentang keperluan merancang kewangan dengan baik. Namun, dalam usaha memupuk tabiat yang baik tersebut, janganlah pula terlampau taksub mengumpul kekayaan sehingga lupa akan perkara-perkara lain yang amat bermakna dalam hidup kita seperti keluarga, kesihatan, kepuasan berkarier serta rakan dan taulan. Tanpa perkara ini, hidup anda tidak akan memberi sebarang makna walaupun anda mempunyai wang jutaan ringgit.
Akhir sekali, kita perlu sentiasa mengingatkan diri tentang kepentingan merancang kewangan. Jika kita tidak bersungguh-sungguh dalam membina kekayaan dan menguruskan kewangan, besar kemungkinan kekayaan tidak akan berpihak kepada kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan