12.10.2010

Spare Part

Alhamdulillah, syukur kepada Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia-Nya kami dapat menjalani kehidupan yang normal seperti orang lain. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W , serta ke atas ahli keluarga baginda, para sahabat baginda, dan seluruh muslimin dan muslimat, semoga kita semua sentiasa dirahmati Allah S.W.T. InsyaAllah.

Sudah hampir 2 minggu aku duduk di Sungai Besar, sambil jaga rumah ayah dan mak yang sekarang ini berada di Tanah Arab kerana menunaikan ibadah haji. Setakat ini paling jauh pun berjalan pergi ke MAHA 2010, sengaja rancang hendak bawa isteri dan anak jalan-jalan.

Baru-baru ini depan rumah ayah dan mak aku ada sebuah kereta Wira yang mengalami kerosakkan tayar akibat terlanggat besi sabit. Kereta Wira dalam perjalan ke Teluk Buluh, Perak dari Subang. Aku pun tolonglah pakcik ni untuk bukakan tayar yang pancit tu. Bila dah buka tibalah masanya untuk menukarkan tayar tersebut dengan tayar ganti, malangnya tayar ganti tu dah tiada angin angin langsung. Jadi aku pun tolong bawa tayar ganti tersebut ke stesen Petronas berhampiran. Pakcik tu beritahu, tayar gantinya belum pernah diselenggara sejak dia beli kereta Wira dia ni.

Bila tayar kereta pakcik ni sudah dipasang dan dia meneruskan perjalanan. Aku pun terfikir juga yang tayar ganti kereta aku pun belum pernah diselenggara. Ntah-ntah cukup ke angin dalam tayar ganti kereta aku tu. Aku rasalah, bukan setakat aku sahaja yang terlupa atau memang buat-buat lupa untuk memeriksa setiap alat ganti atau alat bantu kecemasan dalam kenderaan kita, mungkin ramai lagi yang macam aku. Kadang-kadang kita terlupa untuk menyiapkan peralatan yang sekurang-kurangnya dapat membantu kita ketika menghadapi situasi kecemasan.

Bukan setakat dalam kenderaan sahaja yang perlu ada alat ganti dan alat bantuan kecemasan, di rumah kita sepatutnya mesti ada alat-alat sebegini contohnya peti pertolongan cemas, alat-alat pertukangan yang mudah-mudah dan sebagainya.

Haaa….dari segi kewangan pun sekurang-kurangnya kita perlu ada alat bantu yang sekurang-kurangnya dapat membantu kita ketika menghadapi masalah atau kecemasan dari segi kewangan. Alat tersebut ialah dana rizab atau duit simpanan kita. Dana rizab/simpanan ni bolehlah dianggap sebagai tayar spare part kenderaan kita. Jika ianya diselenggara dengan baik, ia dapat membantu kita ketika menghadapi kecemasan. Begitu juga jika menyelenggara dana kita dengan InsyaAllah ia mampu membantu kita jika kita menghadapi situasi tidak terduga yang melibatkan penggunaan duit. Tentang dana rizab untuk diri kita seperti mana yang aku baca dalam buku-buku pengurusan kewangan, sekurang-kurangnya kita menyimpan dulu 10% gaji atau pendapatan yang kita perolehi. Amalkan menyimpan 10% pendapatan kita sampai kita dah tak larat nak berkerja lagi, di samping itu jangan lupa join takaful, simpan untuk anak-anak, simpan untuk menunaikan ibadah haji dan sebagai.

Dalam cuti sekolah, aku ada beli buku yang bertajuk Ke Mana Wang Anda? Oleh Hajah Rohani Datuk Hj Mohd Shahir. Buku ini memang sesuai untuk dibaca oleh sesiapa yang tak tahu macamana nak urus duit, setiap bulan dapat gaji, masuk poket sekejap saja, belum akhir bulan, duit dah tinggal sikit. Isi kandungan buku ini ialah merancang kewangan, menguruskan perbelanjaan, pelaburan untuk anak-anak, hidup selesa tanpa hutang, peluang tingkatkan pendapatan, persediaan masa depan dan sebagainya. Kalau berminat, bolehlah beli buku ni di kedai-kedai buku. :) Kesimpulannya hendak buat apa-apa dalam dunia ini mestilah kena ada ilmu.

Iktibar yang aku dapat dari peristiwa menolong tukarkan tayar kereta pakcik ialah kita mesti ada alat bantu ketika menghadapi situasi kecemasan…dan jangan lupa untuk memeriksa/menyelenggara peralatan tersebut.

Sebagai orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya yang bernaungan dalam naungan Islam, janganlah kita lupa pula untuk menyiapkan alat bantu iaitu pahala yang berlipat ganda/ amal-amal kebaikan untuk menghadapi situasi yang sangat mencemaskan di Hari Mahsyar kelak.


 


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan