Teringat dulu-dulu semasa aku belajar di IAIN, masa itu aku menuntut ilmu di Fakultas Syariah dalam jurusan Perbandingan Mazhab dan Hukum. Seingat aku masa itu kawan-kawan aku beritahu jurusan inilah antara jurusan yang dianggap susah dan mampu membuat sesiapa yang mengambil jurusan ini jadi pening kepala, dan kelas aku masa itu cuma ada 6 orang pelajar termasuklah aku.
Bayangkanlah kita perlu membuat perbandingan antara 4 mazhab yang teramai pengikutnya, itu belum lagi termasuk mazhab yang kurang dikenali seperti Zohiri, ada juga belajar mazhab dalam Syiah iaitu mazhab Imam Jaafar. Dan jika hendak membuat perbandingan, sekurang-kurang mestilah mengetahui latarbelakangnya, usul fiqh setiap mazhab dan mengkaji kaedah istinbat setiap imam mazhab.
Siapa yang tidak kenal dengan Imam Abu Hanifah, Imam Malik bin Anas, Imam Syafie dan Imam Hambali (ntah-ntah ada di kalangan kita yang langsung tidak mengenali imam-imam ini).huhu…
Mesti ada yang terfikir apa tujuannya belajar jurusan perbandingan mazhab dan hukum ini. Huhu...kalau nak cerita tujuannya aku rasa memerlukan penjelasan yang panjang lebar. Secara ringkasnya tujuan belajar perbandingan atau fiqh muqaran ini ialah supaya kita menjadi manusia yang mempunyai kemerdekaan berfikir, tidak terlalu taksub kepada mana-mana pihak, tetapi kemerdekaan ini mestilah dalam lingkungan al-Quran dan al-Sunnah (pendapat peribadi jer ni).
Selama ini kita hanya diceritakan tentang ketinggian ilmu para imam-imam mazhab ini, tetapi kita kurang atau belum pernah mendengar cerita tribulasi atau ujian atau cobaan yang dihadapi oleh para imam-imam mazhab ini dalam melaksanakan perjuangan mempertahankan syariat Islam.
Di sini aku hendak berkongsi tentang ujian atau cobaan yang mereka hadapi.
Imam Malik bin Anas (semoga Allah merahmatinya). Beliau didera sebanyak 60 hingga 70 rotan. Kemudian beliau diikat dengan tali dan dinaikkan di atas punggung unta lalu diarak mengelilingi kota Madinah. Beliau didera kerana mengeluarkan fatwa bahawa talak di antara suami isteri yang dipaksa itu tidak sah dan sumpah yang dipaksa itu tidak sah. Gabenor Madinah, Jaafar bin Sulaiman al-Hasyimi mengarah beliau menarik balik fatwa itu tetapi beliau tetap bertegas dengan pendiriannya. Untuk makluman kepada yang belum tahu Imam Malik ini dianggap sebagai pengasas Mazhab Maliki.
Imam as Syafie ditangkap di Yaman semasa pemerintahan Harun al-Rasyid kerana dituduh menyokong Syiah. Beliau diperintah berjalan kaki dari Yaman ke Baghdad dalam keadaan tangan dirantai. Beliau mengambil masa 2 bulan perjalanan untuk sampai ke Baghdad. Di situ beliau dipenjarakan sebelum diadili. Di Malaysia, kita banyak menggunakan pendapat-pendapat dalam Mazhab Syafie. Imam Syafie pernah berguru dengan Imam Malik.
Imam Ahmad bin Hanbal didera dengan cemeti 38 kali sampai badan berdarah dan pengsan. Kemudian dipenjarakan di zaman pemerintahan Khalifah al-Ma’mun. Kerana tidak mahu mengikuti pendapat bahawa al-Quran itu makhluk. Di zaman itu fahaman Mu’tazilah yang dipelopori oleh Wasil bin ‘Ata’ berkembang dan dilindungi oleh pemerintah. Imam Ahmad ini dianggap pengasas kepada Mazhab Hambali. Beliau pernah menjadi anak murid kepada Imam Syafie. Mazhab Hambali ini juga dianggap mazhab yang tegas dan keras.
Imam Abu Hanifah diseksa dan dicabuk 110 kali di zaman khalifah Abu Jaafar al-Mansor. Beliau ditangkap oleh Gabenor Iraq, Yazid bin ‘Amer kerana tidak bersedia menerima jawatan Qadi. Beliau takut menerima jawatan rasmi itu kerana bimbang tidak dapat menjaga kesucian jiwa agama pada peribadinya. Beliau merasa lebih bebas berdakwah diluar lingkungan pemerintah. Akhirnya beliau dipenjarakan dan lehernya dirantai dengan besi yang berat. Setiap pagi beliau didera dengan cemeti sampai berdarah. Ibunya dibawa masuk memujuknya di dalam penjara, tetapi ditolaknya juga jawatan tersebut. Akhir sekali beliau dipaksa untuk meminum air yang mengandungi racun dan akhirnya beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika sujud kepada Allah SWT. Sebenarnya yang banyak berjasa mengembangkan mazhab Hanafi adalah Abu Yusof (dia merupakan sahabat dan anak murid kepada Imam Abu Hanifah).
Aku rasalah, jika imam-imam mazhab ni berada dalam zaman kita sekarang ini, mungkin sudah kena masuk dalam bangunan di Kamunting tu.
Sekian, terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan