Tersebut alkisah ada seekor monyet yang bernama Monyet. Setiap hari Monyet bekerja sebagai pemetik buah kelapa. Monyet mendapat upah 3 biji pisang setiap hari. Monyet seorang anak yatim piatu, tidak berbapa tidak beribu.
Pada suatu hari seperti biasa Monyet bertugas sebagai pemetik buah kelapa tetapi cuaca pada hari itu sangat kuat sehingga pokok kelapa bergoyang-goyang. Mahu tidak mahu Monyet terpaksa juga memetik buah kelapa kerana pelanggan tuannya berkehendakkan buah kelapa pada hari itu juga. Monyet pun memanjat dan memaut batangkelapa dengan kuat sekali kerana ingin mengelakkan terjatuh ke tanah akibat angin yang kuat. Semakin kuat angin bertiup semakin kuat Monyet memaut batang kelapa. Setelah berusaha bersungguh-sungguh maka dapatlah jua Monyet memetik buah kelapa. Betapa puasnya hati Monyet kerana walaupun dilanda angin kencang dia tetap dapat memetik buah kelapa.
Pada keesokan hari Monyet menjalankan tugas seperti biasa. Tetapi cuaca hari sungguh baik sekali atau angin sepoi-sepoi bahasa. Ketika Monyet memanjat batang kelapa itu, angin sepoi-sepoi bahasa sentiasa menerjah ke muka Monyet. Monyet amat rasa senang dan tenang dengan angin sepoi-sepoi bahasa. Semakin tinggi Monyet memanjat semakin seronok pula dilanda angin sepoi-sepoi bahasa. Lama-kelamaan akibat asyik dilanda angin sepoi-sepoi bahasa ini, Monyet makin merasa tenang dan menyebabkan mata semakin mengantuk…mengantuk dan terus mengantuk. Akhirnya akibat terlalu mengantuk dek penangan angin sepoi-sepoi bahasa, Monyet tidak tidak sedar yang dia melepaskan tangan dari batang kelapa. Akhirnya Monyet terjatuh jua ke tanah.
Kesimpulan dari cerita ini adalah:
Kadang-kadang apabila seorang itu ingin berjaya mencapai matlamat, dia akan menghadapi bermacam-macam tekanan yang datang dari sekelilingnya. Semakin kuat tekanan yang dihadapi maka semakin kuat pula keazaman untuk berjaya. Dalam menghadapi tekanan-tekanan itu dia tidak lupa untuk menambah ilmu dan menimba pengalaman dari orang yang berpengalaman. Semakin ditekan semakin ia melawan.
Tetapi jika kita sentiasa berada dalam situasi “angin-angin sepoi bahasa tadi” kita mungkin akan terleka dalam kesenangan…semuanya senang. Bila kita sudah berada dalam zon selesa, kita akan suka berada dalam di mana kita berpijak sekarang ini. Biarlah berada ditakuk lama pun, yang penting aku senang…senang dan terus senang.
Jadi, anggaplah tekanan yang kita hadapi sebagai pembakar semangat untuk terus maju ke hadapan. Andaikata kita sudah tidak mampu mengawal tekanan, cubalah untuk rehat sebentar, mungkin kita boleh ambil air wuduk, baring-baring dan sebagainya.
Sekian terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan